Anwar Ibrahim Sah Calon Perdana Menteri

Anwar

Anwar Ibrahim Mengesahkan Beliau Calon Tunggal Perdana Menteri…

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau merupakan calon tunggal Perdana Menteri membabitkan rundingan bersama dengan BN.

Beliau berkata, BN tidak mencadangkan nama lain dalam perbincangannya bersama gabungan itu.

“Dan pilihan utama saya untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, biar saya jadi Perdana Menteri dahulu,” katanya pada sidang akhbar bersama kepimpinan PH di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Baca Juga:

PN Telah Mengemukakan 112 Surat Akuan…

Di samping itu, Perikatan Nasional (PN) telah mengemukakan lebih 112 surat akuan berkanun daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah surat akuan berkenaan mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

“Jumlah surat akuan yang dihantar melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang hari ini.

Tempoh Membentuk Kerajaan Baharu Dilanjutkan…

Bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah hari ini memperkenan tempoh berkenaan dilanjutkan hingga 2 petang esok, susulan permohonan ketua parti politik dan gabungan parti politik yang diterima Istana Negara hari ini.

PRU15, yang paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Dalam PRU15 Sabtu lepas, Pakatan Harapan memenangi 82 kerusi, PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan (tiga) dan masing-masing satu kerusi daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain dua calon Bebas yang menang. – Bernama

SUMBER : Sinar Harian